Reka Bentuk Bangunan PNM
Projek Bangunan Perpustakaan Negara Malaysia telah mula dibayangkan pada tahun 1970. Dalam tahun 1978 satu tapak yang sesuai telah dikenal pasti untuk Bangunan Perpustakaan Negara Malaysia iaitu di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur seluas 2.2 hektar.
Pada tahun 1979 Kerajaan telah melantik satu pasukan jururunding swasta untuk menjalankan Projek Bangunan Perpustakaan Negara Malaysia seperti berikut :
Kumpulan Arkitek (Arkitek dan Juruhias Dalaman)
Baharuddin Ali & Low Sdn. Bhd. (Jurukur Bahan)
Perunding Bersatu (Jurutera Awam dan Struktur)
Zainuddin Radzi dan Rakan-Rakan (Jurutera Elektrik dan Mekanikal)
KA Interior Graphic (KAIG)/Majidah Design Sdn. Bhd. (dilantik pada tahun 1992). (Juruhias Dalaman)
Dalam tahun 1982, konsep reka bentuk pelan lakaran pelukis bangunan telah diluluskan oleh Kerajaan.
Konsep Reka Bentuk
Bangunan Perpustakaan Negara mencerminkan identiti Malaysia yang melambangkan pencapaian intelektual. Konsep reka bentuknya berasaskan tengkolok tradisional Melayu yang melambangkan budaya Melayu.
Gabungan tiga bumbung yang berbentuk tengkolok bercantum di halaman 'Taman Ilmu' bagi melambangkan perpaduan masyarakat dan tiga matlamat utama Perpustakaan Negara. Susunan ubin bercorak songket berwarna biru untuk bumbung diilhamkan daripada warisan yang kaya.
Konsep 'minda' mempengaruhi reka bentuk seni bina dalaman. Suasana ruang terbuka luas menggalakkan pengguna melangkah masuk ke setiap ruang perpustakaan. Suasana ruang melambangkan gerakan fakulti intelek yang terbuka luas. 'Skylight' yang terdapat di puncak bumbung mengilhamkan pencapaian ilmu yang luas. Ruang menegak yang luas terbentuk diantara lima tiang atrium.
Beberapa aras yang menempatkan pelbagai bahagian dan kemudahan perpustakaan dihubungkan dengan tangga yang menarik.
Setiap aras tersusun kemas, menempatkan rangkaian perkhidmatan, koleksi dan maklumat di perpustakaan. Reka bentuk bangunan ini juga mengambil kira kemudahan untuk orang cacat.
Keluasan ruang lantai bangunan seluas 22,073 meter persegi mampu menampung :
1 juta bahan perpustakaan
1,000 tempat duduk pembaca
Auditorium untuk 367 orang
Teater kanak-kanak untuk 150 orang
Dewan Pameran seluas 421 meter persegi