Oleh yang demikian tiga fakta yang dibentangkan di atas dapat digunapakai sebagai kayu ukur terhadap “keislaman Brunei”. Pertama ialah penerimaan Brunei terhadap Islam, iaitu agama Allah yang ajarannya disampaikan menerusi RasulNya Nabi Muhammad SAW, menjadi anutan raja dan pembesar-pembesar negara serta majoriti rakyatnya. Kedua, pengamalan dan penyebaran ajaran-ajaran Islam dengan menghormati serta memartabatkan syi’arny. Ketiga, melembagakan Islam ke dalam sistem pemerintahan, adat istiadat dan kemasyarakatan. Kesemuanya adalah menandakan betapa Brunei sedang berada pada suatu keadaan ingatkan Allah. Selain ingatkan Allah menerusi amal ibadat yang biasa dalam kategori fardhu Ain, bangsa Brunei juga ingatkan Allah dalam saat-saat dan peristiwa-peristiwa penting kenegaraannya.
Dengan merujuk makna-makna yang terkandung dalam erti kata dan definisi zikir atau zikrullah maka adalah tepat disebutkan bahawa Perlembagaan Negari Brunei 1959 telah dimasyhurkan oleh Sultan ‘Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Ibni Sultan Muhammad Jamalul ‘Alam dengan tidak lupa daripada mengingati Allah. Pemasyhuran itu dimulakan dengan menyebut Basmalah, diiringi tahmid, solawat dan salam.