Zaman Bahasa Melayu Kuno
Menurut Abdul Rashid dan Amat Juhari Moain, (2006 : 27), bahasa Melayu Kuno bermula pada abad ke-4 Masihi. Bahasa Melayu Kuno dikatakan bermula pada abad ke-4 Masihi kerana terdapat beberapa bukti yang telah ditemui di Dong Yen Chau di Teluk Tourane Vietnam yang diperkirakan bertarikh pada abad ke-4 Masihi. Bahan bukti yang ditemui ialah sebuah prasasti.
Berdasarkan maklumat daripada wikipedia bahasa Melayu, bahasa Melayu Kuno wujud setelah menerima pengaruh daripada India. Bahasa Melayu Kuno mencapai kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Mereka yang bertutur bahasa Melayu Kuno merangkumi Semenanjung Tanah Melayu , Kepulauan Riau dan Sumatera. Bahasa Melayu Kuno diterima ramai kerana terdapat beberapa ciri yang boleh diterima oleh orang ramai. Antaranya ialah bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu Kuno juga dikatakan tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat. Sehubungan itu, bahasa Melayu Konu juga mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa.