KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng mengakui anak didiknya, Goh Jin Wei masih belum mempunyai pakej lengkap bagi untuk menjadi pencabar kepada bintang utama dunia. Katanya, walaupun pemain berusia 16 tahun itu berjaya mara ke final Indonesia Masters, kelmarin namun masih banyak yang perlu diperbaiki Jin Wei terutama mempertajamkan lagi corak serangannya. "Ada perkara yang dia perlu baiki terutama ketika melakukan serangan. Saya tiada masalah dengan cara dia bertahan tetapi dia corak permainan menyerang perlu dipertingkatkan lagi," kata Tat Meng.
Kelmarin, Jin Wei tewas kepada pilihan utama Busanan Ongbumrungpan 15-21, 13-21 dalam final yang berlangsung di Gedung Dome, Balikpapan. Mengulas lanjut, Tat Meng mahu Jin Wei mempelbagaikan corak permainannya jika berhasrat untuk menjadi pemain utama dunia. Pemain dari Pulau Pinang itu akan beraksi di Terbuka Thailand dan Taiwan Masters - dua kejohanan pemanas badan sebelum ke Bilbao, Sepanyol untuk Kejohanan Remaja Dunia. Jin Wei akan turun di Bilbao sebagai juara bertahan selepas menjuarai kejohanan itu di Lima, Peru, tahun lalu. "Dua kejohanan akan menjadi persiapan untuk dia sebelum ke Kejohanan Dunia. Saya berharap dia bebas daripada masalah kecederaan," kata Tat Meng.