Pajak Gadai di Malaysia begitu mendapat sambutan yang memberangsangkan di kalangan masyarakat kelas miskin dan menengah bagi mendapatkan sumber kewangan dengan cepat dan mudah. Atas asas itu, Kedai Pajak Gadai dan Kedai Emas di seluruh Malaysia menawarkan skim pajak gadai ini. Kemasukan gelombang Islamisasi ke Malaysia membawa sekali semangat untuk menerapkan Islam dalam seluruh system kehidupan dan kenegaraan masyarakat Malaysia. Hasil daripada dorongan dan gelombang tersebut lahir institusi Perbankan dan Pasaran Modal Islam di Malaysia pada awal 1980 an. Kewujudan al-Rahn adalah pelengkap kepada sistem kewangan yang ada iaitu pada mulanya al-Rahn ditawarkan oleh Institusi bukan Perbankan (NBFI) seperti Bank Kerjasama Rakyat yang dibangunkan di bawah Akta Koperasi 1970, Muassasah Gadaian Terengganu dan Permodalan Kelantan Berhad. Perkembangan dan sambutan yang menggalakkan memberikan semangat kepada institusi perbankan menawarkan perkhidmatan al-Rahn yang terpisah daripada perkhidmatan perbankan yang ada. Hasilnya lahir Bank Islam, EON Bank dan Bank Pertanian (sekarang Agro Bank) dengan instrumen al-Rahn masing-masing. Kajian ini akan menelusuri sejarah al-Rahn di Malaysia dan analisis perbandingan dengan sistem pajak gadai konvensional.