Kita sedia ma‘lūm yang Jāwī berada dalam keadaan yang tidak segar – yang mana karya-karya para ‘ilmuwan Jāwī yang kematangannya berusia lebih 600 tahun sudah terjarak dengan angkatan baharu. Yang tinggal pada kutubkhanah bahasa kita adalah yang semuanya bertulisan Rūmī, yang usianya tidak lebih dari 100 tahun pun. Di balik peristiwa besar dalam sejarah bangsa kita ini, kita sudah sedia tahu, tidak lain tidak bukan, ini adalah kerja-kerja pembaratan, penjajahan dan penawanan fikiran.
Untuk itu, satu rencana yang tersusun dan kemas perlu didahulukan supaya pengamallaksanaannya membuahkan intisari yang manis dan bermanfa‘at zamān-berzamān – bahkan mampu menyebarkan pula baka rendang ketamaddunannya untuk bercambah-cambahan di merata pelosok ‘ālam. Sepertimana insān yang beradab yang menurut jejak insān teragung, Nabī Muḥammad (Ṣ), yang mahu dilahirkan daripada tujuan sebuah pendidikan –begitulah juga natijah insān Jāwī perlu diletakkan pada mercu yang tertinggi dalam perjuangannya.