Novel Kabus Di Perbukitan
( Mohamad Kholid Hamzah)
Novel ini memaparkan kisah pasangan suami isteri, Kamarudin seorang tentera dan
Salmah,yang mempunyai sepasang anak kembar Faridah dan Rahayu. Apabila Kamarudin
ditugaskan sebagai Pegawai Pemerintah di Pengkalan Hulu di Perak, dia telah berkahwin dengan
Hamidah. Kamarudin diarahkan bertugas sebagai Atase Keselamatan di Pejabat Kedutaan
Malaysia di Pontianak, Indonesia. Di sinilah bermulanya perpisahan pasangan kembar tersebut.
Kamarudin telah membawa Rahayu tinggal bersama-samanya, manakala Faridah dijaga oleh
Salmah.
Setelah dewasa, Rahayu berkawan dengan Azrul yang sama-sama belajar di Fakulti Ekologi
Manusia, UPM. Faridah menjadi Sukarelawan PDK Suria. Rahayu telah dikejarkan ke Hospital
Universiti Kebangsaan Malaysia kerana pengsan di perpustakaan. Rahayu disahkan menghidap
kanser. Faridah pula membawa kanak-kanak istimewa ke Bukit Fraser. Sebelum pulang Faridah
pergi ke Raub untuk mengisi minyak van dan membeli beberapa keperluan untuk perjalanan pulang
pada pukul 2 petang nanti. Akibat terkejut dengan kehadiran Iqbal di dalam van, Faridah gagal
mengawal pergerakan van, dan melanggar tembok pengadang jalan lalu menjunam ke dalam
gaung. Faridah dan Iqbal tidak dapat dikesan oleh pasukan penyelamat. Setelah dua minggu
usaha menyelamat gagal, operasi menyelamat dihentikan. Namun, bapanya, Kamarudin dan
rakannya, Buyung berusaha meredah hutan mencari Faridah dan Iqbal. Mereka dijumpai di
perkampungan orang Asli di Sungai Dua. Faridah dimasukkan ke hospital yang sama dengan
Rahayu dalam keadaan koma. Rahayu melawat Faridah dan dia menghembuskan nafasnya yang
terakhir di sisi Faridah. Selepas kematian Rahayu dan tamat pengajian di universiti, Azrul berhasrat
menjadi penternak kambing yang berjaya, sebagaimana yang dicita-citakan oleh Rahayu semasa
mereka sama-sama belajar.
Setelah sihat, Faridah berkahwin dengan Pegawai Kebajikan Masyarakat bernama Ghazali.
Tidak lama kemudian Salmah, ibu kepada Faridah dan Rahayu meninggal dunia kerana terlalu
rindu akan Rahayu. Selepas itu, Ghazali pula meninggal dunia akibat kemalangan. Kemudian
Faridah ditawarkan mengikuti kursus Community Services for Disable People di New Zealand
selama enam bulan. Di situlah dia berkahwin dengan Soleh Johnsons dan dia terus menetap di
sana. Mereka mendapat sepasang anak kembar, iaitu Melina dan Anne.
Melina berkenalan dengan Jabbar al – Anbia atau dikenali sebagai „Benny‟. Secara tidak
sengaja, Anne pula bertemu dengan Zain yang membantunya semasa keretanya rosak. Akhirnya
Melina berkahwin dengan Benny di Masjid al-Noor, Christchurch. Mereka berpindah ke Malaysia
kerana Benny ditugaskan menerajui operasi minyak di situ. Mereka menetap di Terengganu. Di
Malaysia, Benny berkawan baik dengan Mohamed Attar dan Mehmood yang cenderung mencapai
sesuatu matlamat berhubung dengan Islam secara kekerasan. Muhamed Attar telah ditangkap
oleh pihak berkuasa Interpol kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengganas. Benny yang
bimbang akan keselamatan dirinya telah melarikan diri ke Dubai dengan bantuan keluarganya.
Faridah dan Soleh pulang ke Malaysia untuk berbincang tentang perkahwinan Anne dan
Zain. Mereka menginap di Cameron Highlands. Di situlah Faridah mengetahui bahawa Zain ialah
anak lelaki bekas teman lelaki adiknya, arwah Rahayu. Majlis perkahwinan mereka berlangsung
dengan meriah.