JELEBU 1 Sept. – Penganjuran pertandingan yang melibatkan kemahiran seperti Pertandingan MyCCSkills membuktikan bahawa proses pendidikan negara bergerak seiring dengan keperluan semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd. Razi Mohd. Ali berkata, ia sekali gus menyangkal dakwaan yang menyatakan sistem pendidikan negara kita ketinggalan.
“Malah, sokongan kementerian dalam memperkasa kemahiran adalah bukti nyata pemimpin negara sentiasa peka terhadap kepentingan perkembangan kemahiran kendiri serta kemahiran fizikal generasi muda,” jelasnya.
“Pertandingan MyCCSkills contohnya memberi impak yang besar kerana tidak dinafikan sejumlah besar tenaga kerja separa mahir dan mahir amat diperlukan,” ujarnya.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan MyCCSkills 2015: Bidang Pemasangan Elektrik di Kolej Komuniti Jelebu di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Jelebu, Md. Kasim Jaafar berkata, pertandingan MyCCSkills yang berbentuk kemahiran merupakan anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti(JPKK).
Jelasnya sebanyak enam kluster dipertandingkan dan Bidang Pemasangan Elektrik merupakan salah satu cabang yang tergolong dalam Kluster 3 iaitu Kluster Kejuruteraan.
“Sebanyak 18 dari 25 buah Kolej Komuniti yang menawarkan Program Teknologi Elektrik (STE) dan Pemasangan Elektrik(SPE) telah mengambil bahagian dalam pertandingan MyCCSkills kali ini,” ujarnya.