BONGAWAN: Muzik Gambus yang memaparkan keunikan dan budaya masyarakat Brunei di negeri ini semakin mendapat tempat di hati orang ramai termasuk golongan muda yang menunjukkan minat untuk mempelajari alat muzik berkenaan.
Selain dilihat mempunyai nilai komersil dari sudut pelancongan dan ekonomi, minat golongan muda di dalam muzik itu mampu memelihara keseniannya daripada hilang terutamanya dalam era muzik global yang semakin mencuri tumpuan masyarakat di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang, berkata muzik gambus semakin popular di mana pembabitan aktif golongan muda dalam kemunculan kumpulan gambus yang banyak bagai ‘cendawan tumbuh’, membuktikan muzik itu masih relevan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, gambus yang majoritinya dipelopori oleh kaum lelaki merupakan entiti budaya dan perlu terus dipopularkan dalam arena industri muzik tempatan kerana ia mencerminkan jati diri bangsa Brunei.
Tambahnya, kejayaan mengekalkan gambus ini telah mencerminkan satu kesungguhan serta semangat berkerja berpasukan yang ditunjukkan oleh seluruh ahli jawatankuasa penganjur.
“Muzik merupakan salah satu alternatif ke arah usaha untuk mempertahankan kesenian dan kebudayaan suku kaum dimana muzik dapat memainkan peranan bagi memastikan keseninaan dan kebudayaan suku kaum bukan sahaja dipelihara tetapi dapat dikekalkan.
“Muzik tradisional juga seperti gambus boleh dijadikan sebagai insturmen perpaduan dan pesefahaman kaum sebagai mana Gagasan 1 Malaysia yang turut memberikan perhatian terhadap usaha-usaha untuk memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini, khususnya di Sabah, ” kata Karim.
Karim menambah usaha mempertahankan kesenian dan kebudayaan suku kaum perlu dilakukan secara berterusan kerana ada usaha pihak barat cuba mencemarkannya yang sudah tentu akan menjajah pemikiran genersi muda masa kini dan generasi masa depan.
Sehubungan dengan itu, penganjuran seumpama itu wajar diberikan sokongan dan perlu diteruskan dimana ianya akan membuka ruang kea rah mengeratkan hubungan silaturrahim disamping mempertahankan khazanah warisan budaya kita agar kekal sepanjang zaman.
“Paling membanggakan saya adalah kemunculan Fauziah Gambus di mana beliau satu-satunya wanita yang memperjuangkan muzik gambus sehingga berjaya mengharumkan nama negara malah turut merakamkan album dalam irama muzik tradisional itu.
“Ratu Gambus atau nama sebenarnya Fauziah Suhaili yang berasal dari daerah ini, merupakan seorang artis yang kerap membuat persembahan di seluruh negara malah turut beraksi di pentas dunia, ” katanya selepas menyempurnakan dokumentari Konsert Jelajah Fauziah Gambus yang dirakamkan RTM, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Fauziah Gambus atau mesra dipanggil Zia berkata, dia serta kumpulannya sentiasa sibuk membuat persembahan di majlis-majlis kebudayaan anjuran beberapa kementerian di negara ini dan itu menunjukkan muzik gambus amat diminati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Ziah yang baru habis menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menyifatkan muzik gambus bukan hanya untuk golongan berusia sahaja, tetapi merangkumi semua peringkat umur.
Mengenai perkembangan terbaru kariernya, Zia kini sibuk di studio untuk merakamkan lagu untuk pengeluaran albumnya yang ke dua sepanjang bergelar artis sejak beberapa tahun lalu.
“Rakaman album gambus dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini, masih dalam proses dan dijangka akan ke pasaran selepas Aidilfitri tahun ini, ” katanya.
Dalam majlis itu, kehadiran lebih 700 penduduk menambahkan lagi kemeriahan yang telah dirasai sejak awal walaupun cuaca pada malam itu agak panas namun penduduk enggan berganjak malah turut sama berjoget mengikut rentak gambus yang dimainkan Fauziah di program dokumentari terbabit.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/05/24/muzik-gambus-kian-popular/#ixzz3SOXa45wx