TAWAU: UMNO Sabah perlu menolak landskap politik berpaksikan kebencian serta melaga-lagakan yang semakin menular dalam senario politik negara ketika ini, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Beliau berkata pendekatan politik seperti itu perlu diatasi kerana sekiranya dibiarkan berterusan, negara boleh terjerumus ke arah pergolakan dan kekacauan. "UMNO Sabah yang berusia 25 tahun ini kena tolak budaya politik sedemikian yang hanya membawa kepada impak negatif... budaya politik yang dibawa pihak tertentu seperti laungan kenegerian (emosi) adalah tidak wajar," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tawau di sini, hari ini. Beliau berkata, tidak salah sekiranya laungan kenegerian dibawa dalam budaya politik namun perlu ada batasan. "Politik semata-mata politik tidak apa tetapi politik 'Sabah for Sabahan' (kebencian) akan membawa kepada perpecahan," katanya. Dalam pada itu, Hishammuddin berkata tidak dinafikan keperluan orang Sabah untuk mendapat pengiktirafan dan penghormatan adalah wajar tetapi jangan sehingga terikut-ikut politik kepada perpecahan. - BERNAMA
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/191849