KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memasukkan ubat kebas atau penyembur "ethyl chloride" dalam senarai bahan yang mengkhayalkan untuk mencegah penyalahgunaan ubat itu dalam kalangan remaja. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata KDN sedang menggubal satu akta berkaitan bahan mengkhayalkan yang merangkumi pengawalan, pencegahan, rawatan dan rehabilitasi penagihan inhalan. "Pihak kita belum ada kajian yang menunjukkan ramai terlibat dalam tabiat menyedut ubat kebas dalam kalangan remaja. Ia digunakan untuk menghilangkan kesakitan bersifat sementara dan diaplikasikan secara luaran semasa pembedahan kecil atau melegakan kecederaan otot ketika bersukan. Disebabkan itu ia tidak dikawal sebagai racun berjadual di bawah Akta Racun 1952 dan boleh diperolehi di kaunter ubat sebagai produk 'Over The Counter' (OTC)," katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.