Hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hendak menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir memang bertepatan pada waktunya. Apatah lagi di zaman ledakan siber (cyber) ini yang banyak membawa pengaruh positif dan negatif sama ada dalam dan luar negara. Baginda yakin, cara yang paling tepat untuk sentiasa mengekalkan keamanan, keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan ialah dengan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan mengingatinya dalam segenap urusan agar semua pergerakan dan perbuatan yang dilakukan oleh rakyat dan penduduk di negara ini akan sentiasa memperolehi rahmat yang berpanjangan dan jauh daripada kesusahan, bala bencana dan pelbagai anasir yang boleh mengancam dan merosakkan keamanan dan kesejahteraan yang sedang dinikmati sekarang.