Hassanal Bolkiah, GCB GCMG, (nama penuh KDYMMPSB Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Sir Muda Haji Omar 'Ali Saifuddien; lahir 15 Julai 1946) merupakan Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei ke-29 dan Perdana Menteri pertama negara tersebut. Baginda juga adalah anakanda sulung kepada Sultan sebelumnya iaitu Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien III. Selain menjadi seorang Sultan dan Perdana Menteri Brunei, baginda juga menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan Brunei dan Menteri Kewangan Brunei. Baginda adalah salah seorang dari orang yang terkaya di dunia iaitu mempunyai harta lebih AS$20 bilion.
Hassanal Bolkiah dimasyhurkan sebagai Pengiran Muda Mahkota Brunei pada 1961 dan ditabalkan sebagai Sultan Brunei pada 5 Oktober 1967 sehari selepas ayahandanya baginda, Sultan Omar 'Ali Saifuddien III, turun daripada takhta secara sukarela.
Permaisuri baginda ialah KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Kedua-dua kerabat ini dikurniakan sebanyak enam orang putera puteri. Salah seorang dari putera baginda adalah pewaris takhta kerajaan, iaitu DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah. Pengiran Muda Mahkota bertemu jodoh dengan DYTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan berkahwin pada 2003, yang kemudiannya dikurniakan cahaya mata, YTM Pengiran Muda Abdul Muntaqim (2007), YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah (2011) dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman (2015).
Selain itu baginda jua memperoleh empat orang lagi putera puteri dari hasil perkahwinan baginda dengan Hajah Mariam yang diceraikan kerana nusyuz pada 2003.
Baginda kemudian menikahi Azrinaz Mazhar Hakim dari Malaysia dan dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Azrinaz diceraikan pada 2010 kerana nusyuz dan semua gelarannya dilucutkan.
Baru dua dari putera dan dua orang puteri baginda yang sudah berkahwin dan kesemuanya dirayakan secara besar-besaran dan penuh kemeriahan.