Maka dapat dikatakan bahawa keadaan yang ada setakat ini telah cukup bertenaga mengetarakan sifat dan corak Islam di Brunei. Ia suatu dinamika dalam perkembangan dan pembangunannya. Ia tidak menjadi hambatan atau halangan malah memacu dan memajukan negara, memerintah dan mengurus tadbir negara dengan ajaran Islam, tidak setakat menerapkan nilai-nilai universalnya kepada perkhidmatan awam.
Satu lagi faktor penting tentang “keislaman Brunei” ialah aspek penghayatannya yang berdasarkan aqidah Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan fiqh Mazhab Syafi’e. Ia mempengaruhi Brunei serta rakyatnya dan sekaligus membentuk sikap serta pembawaan beragama yang sederhana, kukuh dan mantap. Bukti yang terang mengenai hal ini ialah penolakan terhadap ajaran-ajaran sonsang atau sesat bukan sahaja oleh masyarakat umum bahkan dilakukan di peringkat rasmi oleh kerajaan dengan kawalan dan penguatkuasaan undang-undang.