SELAMA: Seorang lelaki ditemui mati dengan tiga kesan tembakan di dahi dan muka, di tepi jalan masuk ke Bukit Sumpitan, kira-kira 15 Kilometer dari Redang Panjang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa yang dipercayai warga tempatan berusia 50-an, dipercayai ditembak dari jarak sederhana dengan satu das tembakan di bahagian dahi dan dua das di muka dengan peluru jenis .22 milimeter (mm).
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay, berkata polis yang mendapat maklumat daripada orang awam bergegas ke lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian.
Lian Lay berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di tempat kejadian.
"Ini berdasarkan kesan darah pada mangsa yang telah kering. Kita juga tidak menemui apa-apa kesan darah di sekeliling mayat.
"Pemeriksaan ke atas lelaki itu tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketika ditemui, mangsa yang mempunyai ketinggian lebih kurang 1.6 meter, berpakaian baju-T gelap dan seluar jeans biru serta memakai tali pinggang coklat.
Katanya, buat masa ini, polis melancarkan gerakan mengesan waris mangsa, yang akan dibuat melalui pengesanan cap jari dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau meminta orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.