Jawi: نڬارا بروني دارالسلام) ialah sebuah negara kecil yang kaya dengan sumber minyak dan terletak di sebelah utara pulau Borneo. Brunei di kelilingi Malaysia dengan dua bahagian Brunei dipisahkan di daratan oleh Malaysia. Nama Borneo diambil berdasarkan nama negara ini. Ini adalah disebabkan pada zaman dahulu, Brunei mempunyai pengaruh dan kuasa yang kuat di pulau Borneo.
Para pengkaji sejarah telah mempercayai bahawa terdapatnya sebuah kerajaan lain sebelum tertubuhnya Kesultanan Brunei kini, yang digelar orang Cina sebagai Po-ni. Catatan orang Cina dan orang Arab menunjukkan bahawa kerajaan perdagangan kuno ini wujud di muara Sungai Brunei seawal abad ke-7 atau ke-8. Kerajaan awal ini pernah ditakluk empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatra pada awal abad ke-sembilan Masihi dan seterusnya menguasai Borneo utara dan gugusan kepulauan Filipina. Kerajaan ini juga pernah dijajah Empayar Majapahit yang berpusat di pulau Jawa tetapi berjaya membebaskan dirinya dan kembali sebagai sebuah negeri yang penting.
Brunei merupakan negara kedua tertinggi bagi Indeks Pembangunan Manusia (HDI) dalam kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan dikelaskan sebagai negara maju. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Brunei berada di tempat ke-4 bagi keluaran dalam negara kasar dunia per kapita dalam pariti kuasa beli.
Sejarah
Empayar Brunei melalui zaman kegemilangannya pada abad ke-15 hingga abad ke-17, sewaktu ia memperluaskan kekuasaannya ke seluruh pulau Borneo dan ke Filipina di sebelah utaranya.
Brunei mencapai kemuncak kekuasaannya pada zaman pemerintahan Sultannya yang kelima iaitu Sultan Bolkiah (1485 - 1524), yang terkenal disebabkan pengembaraan baginda di laut, malah pernah seketika menakluki Manila; dan pada zaman pemerintahan sultan yang kesepuluh, Sultan Muhammad Hasan (سلطان محمد حسن) (TM 1582 - 1598), yang membangunkan susun atur adat istiadat kerajaan dan istana yang masih kekal hingga ke hari ini.