MAKANAN SEGERA YANG TIDAK BERKHASIAT
Di negara kita kini makanan segera amat popular. Pernahkah anda makan burger atau hot dog yang dijual di warung-warung kecil atau di kedai-kedai makan besar seperti McDonald’s dan sebagainya? Itulah yang disebut makanan segera, iaitu makanan yang disediakan dengan cepat untuk pelanggan-pelanggannya. Contoh-contoh lain makana segera ialah pizza, ayam goreng segera dan mi segera.
Pengusaha-pengusaha makanan tersebut menekankan bahawa makanan segera lazat rasanya, mudah dibuat dan berzat. Mungkin benar bahawa makanan-makanan itu lazat dan mudah dibuat. Tetapi kajian-kajian telah menunjukkan bahawa kebanyakan makanan segera tidak berzat. Kajian yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Australia dalam tahun 1979, misalnya, menunjukkan bahawa kandungan sodium atau garam dalam makanan tersebut amat tinggi, lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh badan kita. Garam yang terlalu banyak mungkin menyebabkan tekanan darah tinggi yang membawa kepada serangan sakit jantung pula.
Kajian yang sama juga menunjukkan terdapatnya unsur-unsur lain yang tidak baik untuk kesihatan badan kita. Jumlah lemak yang tinggi, misalnya, membawa akibat buruk kepada jantung. Bahan perasa yang digunakan dalam makanan segera meninggalkan kesan buruk juga. Satu bahan awet kimia yang biasa digunakan ialah sodium nitrit, dan bahan ini mungkin menyebabkan barah.
Membawa bekalan makanan ke sekolah adalah amalan baik. Bukan sahaja anda dapat menjimatkan belanja, malah anda dapat mengealkkan diri daripada membeli makanan segera yang tidak berkhasiat. Makanan yang dibawa dari rumah itu hendaklah berisi unsur-unsur yang berikut: protein, karbohidrat, vitamin dan zat galian. Antara jenis-jenis makanan yang dapat dijadikan bekalan ialah nasi lemak (dengan lauk telur, sambal dan sayur), mi atau mihun yang dibubuh sayur, dan roti atau sandwich. Dengan demikian makanan itu berkhasiat.
Kebanyakan makanan segera yang amat popular pada masa ini berasal dari Barat. Pengusaha-pengusaha makanan itu telah Berjaya meyakinkan kita, terutama kanak-kanak, bahawa makanan seperti itu adalah perkara baru. Sebenarnya kita telah lama mempunyai makanan segera kita sendiri, yang tidak kurang lazatnya dan dapat pula disediakan dengan cepat. Contohnya sate, pisang goreng, kuetiau dan roti canai. Makanan-makanan ini dapat dinikmati dalam masa beberapa minit selepas dipesan.