MELAKA: Bekas EXCO Pemuda UMNO, Mohd Rafiq Naizamohideen dijangka membuat rayuan kepada Lembaga Disiplin UMNO bagi mendapatkan pertimbangan untuk menggugurkan hukuman penggantungannya sebagai ahli parti, dalam masa terdekat. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, Mohd Rafiq akan membuat rayuan kepada Majlis Tertinggi UMNO terutama Presiden parti dan berharap ia dapat dipertimbangkan dengan mengenepikan dan menggugurkan pertuduhan serta hukuman supaya dia dapat berjuang membantu parti dan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU14). Katanya, dia dituduh kononnya menghasut dan merancang melakukan sabotaj terhadap Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron melalui cadangan penganjuran program Bicara Negarawan di Melaka, tahun lalu dengan menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu masih ahli parti. "Saya bukanlah pihak yang menganjurkan, merancang atau menjemput Tun Mahathir.. sebaliknya seorang Ketua UMNO peringkat cawangan negeri yang meminati kepimpinan Tun berjumpa saya untuk memohon pertolongan bagi memanjangkan jemputan beliau kepada Tun," katanya, di sini, kelmarin. Di Kuala Lumpur, hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata tindakan menggantung bekas EXCO Pemuda UMNO itu diambil selepas siasatan menyeluruh selain meneliti bukti kukuh didapati dalam bentuk video cakera padat (VCD) dan rakaman.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/192161