Alor Setar: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, semalam melakukan sesuatu yang tidak pernah diduganya sebelum ini.
Beliau yang dilantik duta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tahun lalu, diberi penghormatan menaiki pesawat Pilatus PC7 MK 2 sempena lawatannya ke Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas di sini.
Nicol yang menaiki pesawat dipandu juruterbang TUDM, Mejar Khairol Muzambi Salehin, berkata beliau bangga dan bertuah kerana diberi penghormatan untuk terbang setengah jam menikmati pemandangan udara di sekitar Alor Setar.
“Pada mulanya saya gementar, namun menganggapnya sebagai peluang membuat sesuatu cabaran berbeza, selain yakin dengan keupayaan juruterbang TUDM.
“Saya berasa amat bertuah kerana TUDM tidak akan sewenang-wenangnya membawa sesiapa untuk menaiki pesawat mereka,” katanya.