KHEU 25/11/2008 - Sebagai usaha membantu para mangsa yang ditimpa kebakaran yang berlaku baru-baru ini di Kawasan Flat Lapangan Terbang Lama Berakas, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi Majlis Ugama Islam Brunei telah menghulurkan bantuan berupa wang tunai kepada mangsa terlibat.Pada hari ini 16 Zulkaedah 1429 bersamaan 25 November 2008 bertempat di Bilek Dahlia, Tkt 1, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah diadakan Majlis Penyerahan Bantuan Wang Zakat kepada mangsa-mangsa kebakaran iaitu keluarga Muhammad Zakwan Teo bin Abdul Rahman sebanyak $1,400.00 dan barang-barang peralatan persekolahan bagi dua anak mangsa yang mana rumah mereka yang terletak di Flat Lapangan Terbang Lama Berakas telah ditimpa kebakaran pada 7 November 2008 yang lalu.
Bantuan telah disampaikan oleh Yang Mulia Awg Haji Abd Wahab bin Haji Sapar, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam. Wang bantuan yang dihulurkan tersebut diambil dari Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam Brunei.