PARIS: Warisan budaya yang semakin banyak dimusnahkan akibat pergolakan sosial, agama dan kebudayaan dalam sesetengah masyarakat, mendapat teguran Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berjanji Malaysia akan terus membela usaha melindungi dan menambah warisan budaya.
Timbalan perdana menteri berkata ini selaras dengan keutamaan yang terus diberikan terhadap perkara ini dalam agenda Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Dalam kita berusaha untuk memulihara dan berkongsi kekayaan budaya di seluruh dunia, kita melihat dengan perasaan amat sedih dan memualkan pemusnahan yang tidak sepatutnya terhadap lukisan, artifak dan dokumen yang merupakan sebahagian daripada sejarah, identiti dan ketamadunan kolektif kita," katanya.
Muhyiddin, yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari di Paris, berkata demikian dalam ucapannya pada Pertunjukan Gala Warisan Budaya Tidak Ketara Malaysia yang diadakan di ibu pejabat UNESCO di Place de Fontenoy di sini pada Selasa malam.
Majlis itu dianjurkan bersempena pembukan rasmi pameran Warisan Budaya Tidak Ketara Malaysia oleh Muhyiddin sebelum itu, satu acara yang diadakan untuk mempamerkan warisan Malaysia dan melonjakkan profil negara dalam usaha Malaysia untuk menduduki Lembaga Eksekutif UNESCO bagi tempoh 2015-2019.
Pameran dari 14 hingga 16 April itu menonjolkan kecantikan dan keistimewaan batik, jahitan manik, anyaman, makanan warisan, ukiran kayu Mah Meri, wayang kulit, adat dan budaya, tenunan dan permainan tradisional Malaysia.
Muhyiddin menarik perhatian bahawa kepelbagaian dan penyatuan semua budaya merupakan sumber kekayaan intelektual yang tidak dapat ditukar ganti.
"Ia merupakan rekod sejarah kita yang dikongsi dan satu cara untuk memahami diri kita dan satu sama lain. Oleh itu pemusnahan seni dan artifak menyerupai serangan ke atas sejarah, identiti dan tamadun kita," kata timbalan perdana menteri.
Beliau mengingatkan bahawa adalah menjadi satu tugas yang mencabar untuk membina semula sebuah kehidupan yang damai dengan tujuan yang dikongsi bersama yang sepatutnya digalakkan secara aktif sebagai sebahagian daripada aspek penting pembangunan negara.
Muhyiddin menegaskan bahawa kepentingan seni dan budaya sentiasa ada kerana ia merupakan manifestasi ketamadunan.