Ronaldo, yang menyarung jersi No. 7, menderma wang tersebut kepada tabung berkenaan selepas pengikut pemain itu di laman sosial Facebook memintanya berbuat demikian.
Gempa bumi yang berskala 7.8 magnitud telah melanda Nepal, baru-baru ini. Lebih 8,000 orang terbunuh ekoran bencana alam tersebut.
Usaha menghantar bantuan di kawasan pergunungan Nepal berdepan kesukaran apabila krew terpaksa menggunakan helikopter untuk memasuki kampung terjejas yang terletak di pedalaman.
Kerajaan Nepal begitu terharu dengan bantuan yang disalurkan daripada luar.
Ini bukan kali pertama Ronaldo menderma untuk mereka yang berada dalam kesusahan.
Sebelum ini kapten Portugal itu pernah menderma AS$1.7 juta (RM6.14 juta) buat kanak-kanak Palestin di semenanjung Gaza.
Pada 2014, Los Angeles Times melaporkan mengenai usaha amal Ronaldo apabila penyerang itu telah membayar kos perubatan beberapa kanak-kanak, selain membantu mengumpul wang untuk membiayai usaha bantuan tsunami di Indonesia pada tahun 2004.
Ikon bola sepak itu sememangnya terkenal dengan kerja-kerja kebajikan.
Ronaldo cukup digeruni lawannya setiap kali beraksi di atas padang, tetapi di luar padang dia membuktikan dirinya sebagai ahli sukan yang berbudi pekerti tinggi.
Penyerang itu juga difahamkan memilih angka tujuh juta sebagai sumbangannya kerana dia memakai jersi No. 7.
Malah, Ronaldo turut menggesa 102 juta pengikutnya di Facebook agar turut sama menderma kepada mangsa di Nepal. – AGENSI