Pada 20 hb Disember 1925, Y.B Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Keempat Malaysia telah dilahirkan di rumah nombor 18, Lorong Kilang Ais, Alor Star, Kedah. Rumah kayu beratap nipah ini dibeli oleh ayah beliau, Mohamad bin Iskandar dari seorang penjual yang masa itu hendak mengahwinkan anaknya. Semasa dibeli, rumah ini tidak dicat dan mempunyai satu bilik sahaja mempunyai serambi tetapi tidak bertangga di hadapan. Rumah ini menggambarkan kehidupan zaman kanak-kanak Tun Dr. Mahathir. Di sinilah beliau dibesarkan sehingga berkahwin. Walaupun selepas beliau berpindah ke rumah sendiri di Titi Gajah, beliau tetap berkunjung ke rumah ini untuk menziarahi ibu bapa beliau.