MASYARAKAT Melayu mempunyai satu sistem tulisan tersendiri yang dikenali sebagai tulisan jawi. Suatu masa dahulu, tulisan jawi merupakan tulisan yang digunakan dalam urusan harian, sebelum kedatangan tulisan rumi.
Semua masyarakat Melayu dan juga bukan Melayu tahu menulis dan membaca tulisan jawi. Mereka perlu menguasai tulisan ini kerana tiada tulisan lain pada waktu itu yang digunakan.
Entah di mana silapnya, tulisan jawi kini dipandang sepi. Hanya beberapa waktu sahaja tulisan jawi digunakan untuk urusan rasmi. Hari- hari lain hanya menyaksikan tulisan jawi menjadi tulisan kedua di papan tanda. Akhbar yang menggunakan tulisan jawi pun kini sudah tiada.
Terdapat beberapa langkah yang dicadangkan oleh pencinta tulisan ini yang tidak mahu tulisan ini hilang ditelan arus peredaran zaman. Cadangan menganjurkan kempen menggunakan tulisan jawi misalnya telah pun disahut oleh pihak kerajaan. Hasilnya masyarakat sudah mula tahu tentang tulisan jawi. Tetapi mengetahui saja tidak cukup.