Polis Perak, Thai kukuh ikatan Oleh Hashim P. Mamat utusanperak@utusan.com.my PISIT Pisutak (lima dari kanan) dan Mohd. Shukri Dahlan (lima dari kiri) bersama pegawai-pegawai kanan polis Kontinjen Perak dan Thailand selepas mengadakan pertemuan di Dewan Tun Hanif Omar di Kuala Kangar, Perak, kelmarin. - utusan/HASHIM P. MAMAT KUALA KANGSAR 23 Ogos - Sebanyak 84 pegawai Polis Diraja Thailand diketuai Komander Wilayah 9, Leftenan Jeneral Pisit Pisutak membuat lawatan kerja ke atas polis Kontinjen Perak di Dewan Tun Hanif, Perumahan Polis Kuala Kangsar di sini semalam. Lawatan tersebut merupakan kunjungan balas kepada polis negeri ini yang membuat kunjungan di ibu pejabat polis negara jiran itu pada tahun lalu. Kedatangan delegasi tersebut disambut oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan dan pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD). Ketika ditemui pemberita, Mohd. Shukri berkata, lawatan tersebut dapat mengeratkan hubungan dan mempertingkatkan persefahaman serta jalinan kerjasama dari segi keselamatan sempadan antara Malaysia dan Thailand. "Menerusi hubungan dua hala ini, pegawai polis dari Perak dan Thailand dapat bertukar buah fikiran dan berkongsi maklumat berhubung soal keselamatan. "Selama ini kita mendapat kerjasama yang baik sekali daripada Polis Diraja Thailand yang sentiasa membantu kita dalam apa jua urusan termasuk pertukaran maklumat, menggerakkan gerakan menyelamat dan program komuniti kepolisan di Pengkalan Hulu di negeri ini dan Betong di Thailand," katanya. Sementara itu, Pisit berkata, lawatan itu amat penting bagi merapatkan hubungan dua hala antara Perak yang bersempadan dengan selatan Thailand. ''Hubungan ini harus dipertingkatkan dan dibajai bersama, apatah lagi komuniti kepolisan peringkat ASEAN akan ditubuhkan dalam masa dua tahun ini," katanya.