Setiap orang menginginkan rumah idaman yang tersendiri. Rumah idaman yang mereka idamkan menepati cita rasa individu tertentu. Terdapat pelbagai jenis rumah yang menjadi idaman setiap manusia seperti rumah teres, banglow, pangsapuri, kondominium dan lain-lain lagi.
saya juga mempunyai impian untuk memiliki rumah idaman apabila dewasa kelak. Rumah idaman saya ialah rumah banglow yang mempunya kawasan tanah yang luas serta halaman yang lapang. Saya sukakan rumah sedemikian kerana mudah untuk mengumpulkan adik-beradik, saudara-mara dan sahabat handai apabila saya mengadakan sesuatu majlis keramaian.
Saya juga menginginkan kawasan kejiranan yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Kawasan rumah saya nanti mempunyai banyak kemudahan seperti sekolah, pasar raya, klinik, masjid,pejabat, bank dan sebagainya. Dengan ini memudahkan saya dan jiran tetangga menjalankan aktiviti harian.
Konsep rumah saya ialah, berkonsepkan rumah moden. Saya sukakan warna-warna yang ceria menghiasi setiap dinding dan sudut rumah banglow istimewa saya. Warna yang ceria akan memberikan ketenangan kepada saya. Di samping itu saya akan menyusun atur perabot-perabot bermutu tinggi untuk melengkapkan rumah saya itu nanti.
Di bahagian luar rumah, saya akan menanam pelbagai pokok hiasan dan pokok-pokok bunga untuk menyerikan halaman rumah. Selain itu saya juga akan menanam pokok-pokok herba yang boleh dimanfaatkan seperti serai, limau kasturi, limau purut, pandan, lengkuas, mengkudu dan lain-lain lagi. Di satu sudut, saya akan membina kolam renang untuk kegunaan saya sekeluarga serta kolam ikan sebagai hiasan yang dihiasi dengan air terjun mini.
Oleh yang demikian, saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih gigih lagi bagi mencapai impian saya untuk memiliki rumah tersebut. Saya akan membalas jasa ibu bapa saya dengan membawa mereka tinggal bersama saya.