KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS SHEIKHUL ISLAM
20 OGOS 2010
TYT Dato’ Husni Zai Yaacob telah mengetuai satu delegasi dari Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok untuk mengadakan satu kunjungan hormat ke atas Aziz Phitakkumpon yang diberi gelaran rasmi Chularajamontri oleh Kerajaan Thailand. Jawatan tersebut turut dikenali sebagai Sheikhul Islam atau ketua masyarakat Islam peringkat pusat bagi seluruh negara Gajah Putih ini. Kunjungan tersebut telah dibuat di rumah Chularajamontri Aziz yang terletak di kawasan berdekatan Ramkhamhaeng yang memang mempunyai jumlah penduduk Islam yang besar di pinggir Bandaraya Bangkok. Turut sama dalam delegasi tersebut adalah Tn Syed Bakri Syed Abdul Rahman (Timbalan Ketua Perwakilan), En. Norzuhdy Mohamad Nordin (Menteri Penasihat) dan En. Nazarudin Ja’afar (Setiausaha Pertama).
2. Chularajamontri Aziz telah dipilih sebagai Chularajamontri yang ke-18 pada 6 Jun 2010 setelah penyandang sebelumnya meninggal dunia pada bulan Mac sebelumnya. Pemilihan tersebut dibuat melalui undian oleh 740 ahli Jawatankuasa Islam Pusat dari 38 wilayah di Thailand. Jawatan ini merupakan jawatan rasmi yang perlu mendapat perkenan dari Raja Bhumibol Adulyadej sebelum penyandangnya dapat memulakan tugas secara rasmi. Pejabat Chularajamontri pula diiktiraf sebagai berkuasa dan berkelayakan dalam membuat peraturan yang bersangkutan dengan ehwal Islam.
3. Dalam kunjungan selama hampir sejam itu, pelbagai isu berkaitan dengan ehwal Islam dan masyarakatnya di Thailand telah dibincangkan secara terbuka. Antara perkara yang disentuh adalah perkara berkaitan perkembangan dan kebajikan penganut Islam termasuk cabaran yang dihadapi terutama mereka yang menetap di Bangkok, perkembangan dan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan penduduk Thailand, pendidikan agama, urusan pengendalian Haji serta isu pensijilan halal bagi barangan keperluan masyarakat Islam di Thailand. Kesempatan terluang telah digunakan oleh kedua-dua pihak untuk mendapatkan maklumat serta pandangan bagaimana perkara yang dirujuk di atas dapat diuruskan dengan lebih baik dan berkesan lagi demi kepentingan umat Islam.
4. Kunjungan hormat tersebut sangatlah bertepatan pada masanya apatah lagi Chularajamontri Aziz baru sahaja dilantik kira-kira tiga bulan yang lalu. Ia telah berjalan dalam suasana yang mesra bertunjangkan persaudaraan dalam Islam.