Beberapa bulan selepas menjalani rawatan terhadap penyakit kanser hati yang dihidapinya, termasuk melakukan pemindahan hati di China, Tunku Abdul Jalil dimasukkan semula ke hospital kerana jangkitan berulang.
Perkara tersebut disahkan oleh ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar di dalam laman Facebook rasminya yang turut menyertakan gambar-gambar baginda bersama anakandanya itu.
Salah satu gambar itu menunjukkan Sultan Johor memegang erat tangan anakandanya itu yang sedang duduk di atas kerusi roda dan berpakaian hospital.
"Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil sedang melalui rawatan setelah didapati jangkitan berulang," merupakan komen ringkas Sultan Johor di dalam entri baginda pada 1.13 tengahari semalam.