Para pengkaji sejarah telah mempercayai bahawa terdapatnya sebuah kerajaan lain sebelum tertubuhnya Kesultanan Brunei kini, yang digelar orang Cina sebagai Po-ni. Catatan orang Cina dan orang Arab menunjukkan bahawa kerajaan perdagangan kuno ini wujud di muara Sungai Brunei seawal abad ke-7 atau ke-8. Kerajaan awal ini pernah ditakluk empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatra pada awal abad ke-sembilan Masihi dan seterusnya menguasai Borneo utara dan gugusan kepulauan Filipina. Kerajaan ini juga pernah dijajah Empayar Majapahit yang berpusat di pulau Jawa tetapi berjaya membebaskan dirinya dan kembali sebagai sebuah negeri yang penting.