Brunei adalah sebuah “negeri” yang menerima Islam sebagai agama anutan rajanya serta majoriti rakyat dan penduduknya. Sejak kemasukan Islam, Brunei semakin ketara sebagai negara Melayu berpemerintahan beraja dengan sistem sosial dan politiknya kuat dipengaruhi oleh ajaran agama Islam. Itulah menjadikannya dimasyhurkan untuk selama-lamanya kekal sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja sewaktu ia mengambil alih semula tanggungjawab penuh antarabangsa sebagai sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka pada Ihb Januari 1984.
Perlembagaan Bertulis Brunei yang pertama tahun 1959 telah memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi. Peruntukkan tersebut kekal disebutkan dalam Dokumen-Dokumen Perlembagaan 1984 sewaktu Perlembagaan itu dipinda. Kerasmian Islam itu bagi Brunei jelas dilihat dan diamalkan. Ia dilembagakan dalam pemerintahan dan adat istiadat serta dianut dan diamalkan oleh raja, pembesar-pembesar dan rakyat. Ajarannya disebarkan menerusi pendidikan formal dan non-formal, melalui fatwa dan irsyad, melalui dakwah dan tabligh serta menerusi institusi pentadbiran, pendidikan dan media massa