Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana hanya dengan izin-Nya bertemu lagi kita dalam entri terbaru saya pada hari ini. Mudah-mudahan dengan peluang dan kesempatan yang diberikan akan kita gunakan untuk menuntut ilmu sebanyak-banyaknya termasuklah ilmu tajwid ini.
Baiklah, kita teruskan dalam entri terbaru ini di mana saya akan menerangkan tentang cara dan hukum bacaan isti’azah. Melalui pengalaman saya mengajar al-Quran, kebanyakan dari kita terlalu memandang remeh hukum bacaan isti’azah ini. Termasuklah juga ketika membaca bismillah. Ada yang membaca tanpa mengikut hukum tajwid yang sebenarnya. Ada pula yang membaca dalam keadaan lalai. Maksud lalai di sini ialah tidak memperhatikan makna yang tersirat disebalik kalimah bismillah itu.
Untuk membahaskan tentang hukum Isti’azah ini, para ulama’ telah mengambil nas dari Surah an-Nahl, ayat 98:
فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ
Maksudnya:
“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam”
Berdasarkan ayat ini jumhur ulama’ telah bersepakat bahawa hukum membaca Isti’azah ketika memulakan bacaan al-Quran adalah sunat muakkad. Erti sunat muakkad ialah perkara yang amat dituntut untuk melakukannya. Ada pula sebahagian ulama’ yang berpendapat bahawa hukum membaca isti’azah ini adalah wajib. Ini kerana mereka telah berselisih pendapat pada kata kerja suruhan فَٱسۡتَعِذۡ yang mana ertinya mohonlah perlindungan dalam ayat di atas.
Jumhur ulama’ telah berpendapata bahawa kata kerja suruhan فَٱسۡتَعِذۡ bukan suruhan wajib tetapi amat dituntut. Maka menurut pendapat ini meninggalkan bacaan Isti’azah ketika memulakan bacaan al-Quran adalah tidak berdosa. Sebahagian ulama’ pula telah berpendapat bahawa kata kerja suruhan فَٱسۡتَعِذۡ adalah merupakan suruhan. Jadi, menurut pendapat ini berdosalah bagi sesiapa yang meninggalkan bacaan Isti’azah ketika hendak memulakan bacaan al-Quran.
Ibnu Sirin iaitu ulama’ yang berpendapat bahawa wajib membaca Isti’azah telah mengeluarkan pendapatnya bahawa telah memadai membaca Isti’azah sekali dalam seumur hidup sebagai menggugurkan hukum wajib tersebut. Isti’azah mempunyai beberapa bentuk lafaz bacaannya, dan lafaz yang terpilih adalah seperti di bawah:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Ertinya : “Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam”
Mari kita lihat cara-cara untuk membaca Al-Isti’azah. Sebenarnya terdapat empat cara untuk membaca isti’azah ini di mana dua cara dengan suara yang nyaring. Cara ini adalah cara yang digunakan dalam majlis seperti majlis Tilawatul Quran, majlis keugamaan dan ketika belajar. Manakala dua cara lagi adalah dibaca dengan suara yang perlahan. Cara ini pula digunakan ketika seseorang itu di dalam sembahnyang dan sorang diri. Untuk perhatian anda, jika Isti’azah telah dibaca secara nyaring oleh orang pertama di dalam Majlis Mambaca al-Quran secara bergilir-gilir seperti Majlis Tadarrus al-Quran ataupun Majlis Khatam al-Quran, maka pembaca-pembaca yang seterusnya haruslah membaca dengan suara yang perlahan.
Sekarang kita lihat pula bagaimana cara untuk mebaca Isti’azah dengan Bismillah dan Awal Surah. Terdapat empat cara yang boleh kita pilih pada ketika ketiga ayat-ayat ini terhimpun dalam satu bacaan. Emapat cara bacaan yang boleh kita pilih adalah seperti berikut:
1) Cara yang pertama adalah kita memberhentikan bacaan pada Isti’azah dan Bismillah. Kemudian bari kita sambung denngan awal surah. Dan dalam keempat cara, cara inilah yang paling utama.
2) Cara yang kedua pula ialah kita memberhentikan bacaan pada Isti;azah. Kemudian kita menyambungkan bacaan Bismillah dengan awal surah.
3) Cara yang ketiga ialah kita menyambungkan bacaan Isti’azah dengan Bismillah dan berhenti. Kemudian dengan mengambil nafas yang baru kita memulakan bacaan pada awal surah.
4) Dan cara keempat iaitu yang terakhir ialah dengan kita menyambungkan ketiga-tiga ayat sekaligus. Ini selalunya cara yang digunakan oleh para penghafaz al-Quran. Ini kerana mereka membaca ayat al-Quran dengan laju untuk membolehkan mereka mengulang hafalan mereka dalam masa yang singkat.